Satu daripada kebaikan sektor pelancongan negara ialah kita dapat memperkenalkan negara Malaysia ke seantero dunia. ( Ayat topik ) Misalnya, melalui kejohanan perlumbaan kereta Formula 1 di litar Sepang, Sukan Komanwel 1998, kita dapat mempopularkan negara kita dalam kalangan peminat sukan dunia. Selain itu, kita dapat membuktikan bahawa kita mampu menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij dunia yang lengkap dengan pelbagai kemudahan prasarana. Slogan ‘’Malaysia Boleh’’ telah membuktikan keupayaan negara kita dalam penganjuran sukan yang bertaraf antarabangsa tersebut. Melalui penganjuran Kejohanan F1, Malaysia dapat dipromosi ke seluruh dunia dengan kos yang rendah melalui siaran langsung kejohanan tersebut ke seluruh dunia. Ini membuktikan bahawa tarikan penganjuran sukan bertaraf dunia bukan sahaja menggalakkan kedatangan pelancong ke negara kita bahkan dapat mempromosi Malaysia kepada dunia luar secara meluas dengan kos yang minima bertepatan dengan maksud peribahasa, ”Sambil Menyelam Minum Air”.
Seterusnya, sektor pelancongan juga dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara kita.  (Ayat topik). Pelancong yang datang dari negara luar terpaksa menukar  mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh  berbelanja di sini. Ini dapat dilakukan sama ada di bank tempatan  mahupun di pusat pertukaran mata wang asing. Mata wang asing ini  kemudian disimpan untuk digunakan ketika membiayai perbelanjaan  mengimport barang dari luar negara. Peniaga mata wang asing juga  mendapat keuntungan daripada pernigaan yang dijalankan. Pengaliran masuk  mata wang asing ke negara kita bukan sahaja menguntungkan entiti  perniagaan bahkan dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas  untuk rakyat tempatan dari luar negara.
Sektor pelancongan dapat memajukan industri kraftangan di Malaysia.  ( Ayat topik ). Barangan kraftangan buatan rakyat tempatan bukan sahaja  bermutu bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Barangan  kraftangan buatan rakyat Malaysia yang diperbuat daripada kain batik,  seramik, kayu, perak, kaca dan kulit amat cantik dari segi reka bentuk  dan sesuai dijadikan cenderahati kepada pelancong. Pelancong pasti  membeli-belah barangan kraf tangan buatan Malaysia seperti batik, kain  songket, dan lain-lain sebagai buah tangan atau ole-ole  buat keluarga atau rakan mereka. Kedatangan pelancong asing ke Malaysia  bukan sahaja memajukan industri kraf tangan ke luar negara kita bahkan  menjadi periuk nasi kepada pengusaha kraftangan tempatan. 
                        
Sektor pelancongan dapat memajukan bidang perniagaan di Malaysia.  Pelancong asing yang datang ke Malaysia memerlukan tempat penginapan,  makanan dan minuman, perkhidmatan pengangkutan, juru pandu pelancong dan  perkhidmatan lain. Pelancong asing amat menggemari makanan sama ada  makanan tradisonal mahu pun makanan barat di Malaysia. Mereka diberi  pilihan yang amat banyak sama ada menikmati makanan di hotel bertaraf  lima bintang, medan selera yang besar dan berhawa dingin mahupun di  kedai dan warung yang terletak di tepi jalan. Mereka juga boleh  menikmati hidangan makanan laut di restoran yang didirikan secara  terapung di atas air. Sambil menikmati makanan, mereka dapat menghirup  panorama yang amat cantik dan menghirup udara segar di tepi laut.  Permintaan yang tinggi terhadap makanan ini mewujudkan peluang  perniagaan yang luas kepada usahawan tempatan. Pusat-pusat penginapan  juga giat dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan di kawasan  peranginan seperti di pulau dan tepi pantai. Pelancong asing diberi  pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang, resort atau  menginap secara pakej seperti ”Eco-Tuorism” yang membolehkan  pelancong  asing menginap di rumah kampung dan mempelajari cara hidup masyarakat  termasuk cara berpakaian, makanan tradisional dan sebagainya. Pelancong  juga memerlukan perkhidmatan pengangkutan untuk bergerak dari satu  lokasi pelancongan ke lokasi yang lain. Ini membolehkan pengusaha bidang  pengangkutan seperti bas, teksi, van, bot, feri dan lain-lain mendapat  peluang untuk menjalankan perniagaan. Tidak dinafikan peluang yang  datang memberi rezeki yang melimpah ruah kepada peniaga yang ringan  tulang.
Sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada dunia luar. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan warisan budaya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ke serata dunia. Pelancong yang datang ke suatu destinasi pelancongan boleh dihidangkan dengan persembahan kesenian tradisional misalnya wayang kulit, makyung, dikir barat, ronggeng dan kuda kepang. Mereka juga diberi peluang untuk mencuba permainan tradisional seperti sepak raga, galah panjang, congkak, batu seremban dan lain-lain. Pakaian tradisional seperti baju kurung yang diperbuat daripada kain batik dan songket boleh cuba dipakai oleh pelancong asing. Keseronokan pengalaman yang dibawa pulang ke negara asal pelancong akan menjadi memori indah yang akan menggamit mereka untuk datang semula ke negara kita. Keunikan budaya masyarakat Malaysia yang berjaya dipromosi melalui sektor pelancongan sebenarnya memberi imej yang sangat baik kepada negara Malaysia.
Akhir  kalam, industri pelancongan banyak memberikan sumbangan yang besar  terutama dari segi ekonomi kepada negara kita. Oleh itu, semua pihak  haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk mempromosikan Malaysia di mata dunia kerana tak kenal maka tak cinta.
 
No comments:
Post a Comment